Cari Petua Anda Disini:

Loading...
Pin It

Oat cegah risiko sakit jantung

Views:



ADAKAH jantung anda dalam keadaan baik? Ia perlu difikirkan setiap wanita apabila penyakit jantung menjadi pembunuh nombor satu wanita di Malaysia malah lebih bahaya daripada semua penyakit kanser secara keseluruhan.

Mulai 1990 sehingga 2005, penyakit jantung di kalangan wanita meningkat sebanyak 135 peratus. Pada 2006, 23 peratus kematian wanita disebabkan penyakit jantung, suatu yang amat membimbangkan apabila ia membabitkan satu kematian bagi setiap empat wanita.

Beberapa cara berikut dapat memberi penerangan mengenai keadaan jantung.

Pinggang besar, risiko besar
Lemak di sekeliling pinggang dan kawasan perut menandakan risiko lebih besar daripada lemak pada sebahagian bawah tubuh badan.

Ini bermakna wanita yang mempunyai bentuk badan buah epal iaitu lemaknya tertumpu di dalam perut berbanding punggungnya mempunyai risiko penyakit jantung yang lebih besar daripada wanita yang mempunyai bentuk badan buah pear iaitu wanita yang mempunyai punggung lebih besar dan pinggul kecil.

Lemak abdomen juga boleh diketahui dengan mengukur lilitan pinggang. Ukuran melebihi 80 sentimeter (32 inci) menandakan anda obes dan mempunyai risiko besar untuk mendapat sakit dada, sakit jantung ataupun strok dan diabetes.

Indeks jisim tubuh
Indeks berkenaan menunjukkan hubungan antara berat dan ketinggian iaitu berkait rapat dengan lemak badan dan risiko kesihatan.

Bahagi berat anda dalam kilogram dengan dua kali ketinggian dalam meter (kilogram/m2). Indeks jisim tubuh 25.0 hingga 29.9 adalah berlebihan berat badan dan lebih daripada 30 adalah obes.

Berlebihan berat badan atau obes menjadikan fungsi metabolik anda dalam satu keadaan huru-hara dan membawa kolesterol darah tinggi, glukosa darah tinggi dan tekanan darah tinggi - tiga faktor utama kepada penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Paling teruk apabila anda mempunyai salah satu daripadanya, ia mengambil masa tidak lama untuk mendapatkan dua yang lain.

Kolesterol
Paras kolesterol juga dapat menentukan risiko anda mendapat penyakit jantung. Doktor mencadangkan wanita harus memastikan jumlah paras kolesterol mereka di bawah 5.2mmol/L, kolesterol tidak baik (LDL-C) lebih rendah daripada 2.6 mmol/L dan kolesterol baik (HDL-C) lebih tinggi daripada 1.3 mmol/L.

Terlalu banyak kolesterol tidak baik memang berbahaya untuk kesihatan kerana ia menjadi toksik dan menghasilkan plak (satu proses dinamakan aterosklerosis). Ia menyempitkan ruang salur darah yang akan menyekat pengaliran darah.

Apabila aliran darah jantung tersumbat, seseorang akan mengalami serangan jantung dan jika berlaku kepada otak, seseorang itu akan mendapat strok.



Berikut tip berguna untuk melindungi jantung:

1. Rendah dan tinggi yang betul. Langkah pertama mengamalkan diet yang memastikan jantung sihat dan berkeadaan baik. Dua prinsip mudah untuk diingati - rendah lemak, tinggi serat.

Kurangkan makanan berlemak contohnya makanan bergoreng dan berminyak. Dapatkan makanan yang dikukus, direbus, dibakar atau dipanggang.

Pada masa sama, pilih makanan yang tinggi serat. Mulakan mengambil sayur-sayuran yang dimasak sedikit, mengambil buah-buahan dengan kulit, memilih bijirin dan roti gandum penuh. Satu sumber makanan yang kaya dengan serat adalah oat.

2. Faktor oat. Oat adalah 100 peratus makanan semula jadi yang boleh melakukan satu perubahan besar untuk kesihatan jantung. Diet yang tinggi dengan bijirin oat atau bran oat serta diet rendah lemak dan kolesterol dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.

Oat adalah makanan yang kaya dengan serat larut, sejenis serat yang terbukti secara klinikal dapat mengurangkan kolesterol dalam darah. Ia mengikat bendalir hempedu yang sarat dengan kolesterol di dalam perut dan menghalang kolesterol daripada memasuki aliran darah, menurunkan kolesterol darah serta mengurangkan risiko penyakit jantung.

Selain merendahkan paras kolesterol, oat turut membantu mengurangkan berat badan. Sebagai satu sumber tenaga rendah lemak, oat memerlukan masa lebih panjang untuk dihadamkan. Ini bermakna, ia membuatkan kita kenyang untuk jangka masa yang panjang.

3. Nutrien lengkap. Memandangkan serat larut oat amat penting, terdapat tiga nutrien lain yang harus diambil oleh wanita sebagai keperluan harian mereka iaitu kalsium, zat besi dan asid folik.

Ketumpatan tulang akan merosot dengan peningkatan umur dan bilangan kalsium mencukupi untuk memperbaiki kesihatan tulang serta menghalang osteoporosis. Ini kritikal kerana kajian menunjukkan seorang daripada dua wanita berumur lebih 50 tahun mempunyai masalah osteoporosis.

Zat besi membantu dalam pembentukan sel darah merah dan peredaran darah yang sihat. Kekurangan zat besi membawa kepada kekurangan darah yang biasa berlaku di kalangan wanita ketika datang haid.

Asid folik adalah satu kemestian untuk semua wanita di peringkat usia subur. Asid folik bukan saja boleh menyokong penghasilan sel darah merah dan menghalang kekurangan darah, ia dapat mengurangkan risiko mendapat bayi dengan satu kecacatan tiub neuron.

4. Kekal aktif. Wanita hari ini kekal aktif berterusan dan ia bukan mudah untuk makan secara betul. Justeru, makanan yang mudah menjadi pilihan.
Pilih produk makanan yang mengandungi cukup nutrien seperti serat larut oat, asid folik, zat besi dan kalsium yang boleh diambil dengan mudah.

5. Mulakan langkah. Sesibuk mana jadual anda, luangkan waktu untuk bersenam. Anda sudah menikmati makanan dengan betul, mengapa tidak memaksimumkan faedah dengan menambah senaman biasa?

Misalnya, anda boleh memaksimumkan faedah pengambilan kalsium dengan latihan berat untuk mengurangkan risiko osteoporosis. Apa yang diperlukan adalah sekurang-kurangnya 20 minit senaman setiap hari dalam seminggu.

Walau apapun umur anda, belum terlambat untuk berfikir mengenai jantung anda. Lakukan sedikit perubahan menerusi cara makan serta senaman, mulakan sedikit langkah dan berusaha.
Peringatan & Amaran!!!

Informasi petua di blog ini dipetik daripada pelbagai sumber untuk bahan bacaan kepada pembaca kami dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah kesihatan atau kemudaratan hasil daripada amalan petua ini. Risiko adalah tanggungjawab pembaca sendiri. Sila dapatkan nasihat atau pandangan daripada pakar kesihatan terlebih dahulu sebelum mengamalkan sebarang petua di blog ini. Terima kasih..

Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Top Posts

Blog Archive

Recent Comments

 

Tips @ Petua Lama Copyright © 2008 | Designed by Lasantha | Privacy Policy | Blog Disclaimer